KEPUTUSAN pengadil menghentikan permainan semasa aksi rancak Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II mengundang persoalan dan ketegangan warganet dan penyokong tempatan.

Rata-rata penyokong The Red Warriors jelas berang dengan insiden itu yang dilihat tidak memihak kepada pasukan tuan rumah pada perlawanan Liga Premier yang berkesudahan seri 1-1 di Kota Bharu pada petang Jumaat.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh (gambar) ketika dihubungi FLASH SUKAN ada memberi reaksi sedikit isu yang hangat diperkatakan di media sosial.

“Pengadil seharusnya meneruskan permainan, advantage yang sangat baik jelas dapat dilihat dan perlu dilaksanakan untuk pasukan penyerang supaya mereka dapat meneruskan pergerakan serangan.

 

“Saya juga sedikit ‘sangsi’ semasa bola diterima oleh pemain penyerang, kelihatan seperti dimainkan dengan tangan tetapi video-evidence tidak jelas untuk menghukum kesalahan terhadap pemain penyerang.

“Sama ada dia menerima bola dengan tangan terlebih dahulu ataupun pemain pertahanan melakukan kesalahan terlebih dahulu sebelum bola mengenai tangannya ‘on field decision’ oleh pengadil perlulah dihormati,” katanya yang turut melihat video klip yang tular sejak petang semalam.

Bagaimanapun, Subkhiddin yang juga bekas Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelaskan, dari sudut game management pengadil seharusnya lebih bersabar dan meneruskan permainan kerana kelebihan untuk menjaringkan gol memihak kepada pasukan yang tidak melakukan kesalahan.

Katanya lagi, kecederaan yang dialami oleh rakan sepasukan pemain penyerang bukanlah serious seperti ‘head butted‘, luka parah dan yang sepertinya yang benar-benar serius dan memerlukan pemberhentian permainan dengan segera.

“Pada akhirnya saya dapati pengadil memulakan semula permainan selepas ‘pemberhentian sementara yang panjang’ dengan sepakan percuma terus yang diberikan kepada pasukan penyerang.

“Ini bermaksud pemain penyerang tidak melakukan sebarang kesalahan sebaliknya kesalahan dilakukan oleh pemain pertahanan maka oleh itu saya berpendapat pengadil seharusnya lebih bijak untuk memberikan advantage kepada pasukan penyerang,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pengadil yang bertugas pada aksi antara Kelantan dan JDT II, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin menimbulkan kecaman warga netizen dan penyokong bola sepak tempatan apabila meniup wisel menghentikan permainan semasa bola dapat di kaki Syed Sobri Syed Mohamad.

Sebelum itu, Kervens Fils Belfort yang menerima hantaran jauh dari pertahanan Kelantan terjatuh selepas dikasari dalam kawasan bulatan sepak mula.