KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyambut baik langkah penstrukturan baharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula musim 2023 yang menyaksikan 18 kelab bakal bersaing di pentas Liga Super.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berusia 51 tahun itu memberitahu, penstrukturan baharu yang dibuat ini merupakan satu langkah positif.

“Kalau saya tengok apa yang kita akan laksanakan itu merupakan satu langkah yang cukup positif dan dapat lihat sekarang hanya beberapa pasukan sahaja yang dapat mengambil kesempatan di mana pemain-pemain import terutamanya daripada ‘feeder team’ beraksi dalam Liga Super.

“Tetapi selepas ini semua pasukan akan mempunyai kekuatan yang sama. Ia secara tidak langsung akan memberi keputusan adil kepada semua pasukan.

“Keduanya, apabila kita letak syarat Bawah 23 (B-23) tahun untuk ‘reserve league’ ini akan beri banyak minit permainan. Kalau lapan pemain B-23 akan dibenarkan bermain dalam setiap perlawanan kita akan dapat 140 atau 150 pemain yang beraksi setiap minggu.

“Jadi sesiapa sahaja yang menjadi jurulatih B-23, dia tidak akan lagi menghadapi masalah di mana sebelum ini kita hanya mempunyai segelintir sahaja yang bermain dalam liga-liga utama.

“Tetapi kini kita berada dalam level yang berlainan dengan ada pemain import 2+1 dan beberapa pemain senior saya percaya intensiti dan mutu liga akan menjadi lebih baik.

“Bagi saya ini merupakan ‘win-win situation’ untuk pasukan negara bahawa pemain-pemain muda ini penting untuk mendapatkan ‘pathway’ terutamanya peringkat umur 18 dan 19 tahun sebelum ke peringkat senior,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN: Penstrukturan baharu Liga Malaysia 2023… Ini yang perlu anda tahu

Dalam pada itu Kim Swee turut mengulas mengenai kuota baharu pemain import yang ditambah kepada sembilan orang.

“Ia terpulang kepada kelab masing-masing. Kalau kelab mempunyai sumber yang cukup baik ‘dah’ tentu mereka boleh ambil sembilan pemain. MFL tak mengatakan ianya wajib mengambil sembilan pemain. Ini terpulang.

Kim Swee memberitahu kuota sembilan pemain import musim depan adalah mengikut kemampuan kewangan kelab masing-masing.

“Bagi saya sendiri, kalau pihak pengurusan Sabah FC membenarkan dengan sumber kewangan yang kukuh saya juga akan ambil. Kalau tidak saya mungkin ambil enam, tujuh atau lapan… terpulang kepada keadaan,” tambahnya.

Rabu lalu, MFL mengumumkan penstrukturan semula piramid bola sepak domestik yang lebih relevan dengan arus permodenan bola sepak, aspek komersial dan meletakkan keutamaan kepada pembangunan pemain tempatan bermula musim depan dengan enam aspek utama iaitu Liga Super akan membabitkan penyertaan 18 kelab berbanding hanya 12 kelab, Liga Premier akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu sebelum akan dilancarkan semula sebagai Liga Semi-Pro selepas program pembangunan kelab dilaksanakan bersama AFL untuk pasukan pasukan M3.

Ia turut melibatkan Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan, kuota pemain import sejajar dengan pergerakan AFC tetapi juga berasaskan jaminan slot kepada pemain tempatan di atas padang, format Piala FA dan Piala Malaysia akan dirumus semula dengan peningkatan perlawanan liga dan juga perubahan kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan dan perstrukturan semula dan peningkatan perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden bersama FAM.