PIHAK pengurusan Terengganu FC (TFC) menzahirkan kekesalan serta mengecam tindakan yang dilakukan segelintir penyokong mereka di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas tamat perlawanan, semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebook Terengganu FC pada Selasa, TFC juga meminta maaf kepada pihak Selangor FC atas insiden yang berlaku.
“Berkenaan insiden kekacauan yang dilakukan oleh segelintir penyokong Terengganu FC ke atas bas pasukan pelawat semalam, pihak pengurusan kelab ingin melafazkan kekesalan serta mengecam tindakan yang dilakukan.
“Perkara ini dilihat telah turut sama mencalarkan imej kelab serta penyokong Terengganu yang lain yang sama-sama hadir dalam memberikan sokongan buat pasukan ini.
“Pihak kelab juga dengan ini ingin memohon maaf kepada pihak Selangor FC atas insiden yang telah berlaku dan diharapkan perkara ini tidak akan berulang pada masa-masa yang akan datang,” katanya.
Kenyataan itu berkata, sumbangan dan peranan penyokong Terengganu pada tahun ini telah menunjukkan komitmen serta disiplin yang sangat baik dalam memberikan sokongan.
“Sesungguhnya segelintir yang telah melakukan kekacauan ini tidak mewakili serta menggambarkan imej serta keperibadian keseluruhan penyokong pasukan ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Selangor FC buat laporan polis, “Suasana cemas dalam bas pegawai dan pemain”