DATUK Mohd Sumali Reduan diberi penghormatan mengepalai pasukan petugas (task force) bagi menentukan sistem dan kaedah pemberian ranking dunia bagi sepak takraw bermula kempen Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, Mei depan.
Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), dilantik mengetuai pasukan petugas itu, sebagaimana diumumkan Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, di Pusat Dagangan Dunia, di ibu negara.

Trofi Piala Dunia baharu diperkenalkan, inisiatif memperkenalkan piala pusingan ini atas usaha Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan.
Pelancaran kejohanan itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sumali berkata, pihaknya mahu memastikan penganjuran Piala Dunia terlebih dahulu dalam usaha memastikan kempen kali ini sebagai penganjuran terbaik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melakukan gimik pelancaran Piala Dunia Sepak Takraw Istaf.
“Kita lepaskan Piala Dunia kemudian baharu kita memikirkan kaedah sistem ranking.
“Penganjuran Piala Dunia itu akan menjadi penanda aras kepada sistem berkenaan.

Datuk Mohd Sumali Reduan yang diberi tanggungjawab mengetuai pasukan petugas membentuk mata ranking dunia bermula Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, mahu memberi fokus kepada kejohanan terulung itu terlebih dahulu.
“Meskipun sistem ranking itu akan dibincangkan selepas Piala Dunia, setiap pasukan di bawah kategori elit akan diberi mata ranking berdasarkan kedudukan di Piala Dunia berkenaan,” katanya.
Menurutnya, sebagai wakil dari Istaf, beliau akan menubuhkan pasukan petugas terdiri wakil anggota daripada seluruh negara.
“Saya bertindak selaku wakil Istaf dan perlu mengambil kira pandangan seluruh anggota.
“Walaupun Piala Dunia sudah tiga bulan berakhir, kita tetap akan memberikan mata ranking kepada pasukan yang bertanding dalam kategori Premier, dalam usahamengiktiraf pencapaian pasukan-pasukan.”