PASUKAN Victoria Institutions (VI) dinobatkan sebagai juara dalam pentas akhir Malaysia Super Schools Rugby 2023 menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) 21-7 di Padang Ragbi A, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu.

Victoria yang meraih kejuaraan pada tahun 2017 akhirnya berjaya mencipta semula sejarah apabila merampas posisi pertama daripada SEMASHUR yang menjadi juara bertahan sebelum ini.

Ketua jurulatih skuad Victoria, Rozhan Yahya bagaimanapun mengakui bahawa aksi itu telah mendapat tentangan yang sengit oleh pihak lawannya hingga tamat masa perlawanan.

Namun, Rozhan yang membimbing pasukan bawah 17 tahun semenjak 2015 itu sudah bersiap sedia dan mengenal pasti kesilapan serta kekurangan oleh pasukan SEMASHUR dalam aksi-aksi sebelum ini supaya dapat mengatasi mereka dalam kejohanan.

“Secara keseluruhan, saya melihat permainan agak seimbang pada babak pertama namun kesilapan yang dilakukan oleh pihak lawan telah membolehkan Victoria muncul sebagai juara musim ini.

“Resipi kemenangan yang boleh dikongsikan adalah disiplin pasukan dalam menjalankan taktikal ‘breakdown contest’ serta mengekploitasi kesilapan SEMASHUR.

“Selepas ini kami akan menumpukan perhatian dalam membina pasukan kerana majoriti pemain tingkatan lima akan bersara dan fokus terhadap persediaan SPM manakala pemain daripada tingkatan empat dan tiga akan diberikan pendedahan dengan menyertai kejohanan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad SEMASHUR, Amir Ashmaan Abdul Mutalib pula terpaksa akur dengan keputusan yang telah dimuktamadkan.

Beliau turut menyatakan bahawa pencapaian SEMASHUR yang berjaya mara ke pentas akhir juga berada diluar jangkaannya namun tidak menafikan kekuatan pasukan Victoria dalam pertarungan tersebut.

“Saya berharap agar perlawanan selepas ini akan menjadi pengajaran supaya menghasilkan permainan yang lebih baik dan pemain dapat bangkit daripada kekalahan ini,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.flashsukan.com.my/super-schools-rugby-15s-victoria-institution-tepati-ramalan-ke-separuh-akhir/