HARI kedua terjun menyaksikan kecemerlangan Malaysia di pentas Sukan SEA 2023 apabila Muhammad Syafiq Puteh berjaya meraih pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Selasa.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo, penerjun berusia 27 tahun itu mengumpul 377.85 mata dalam keseluruhan lima terjunan untuk menewaskan tujuh penerjun lain.

Kejayaan Syafiq sekali gus berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi semasa bertanding di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Pingat perak pula dimenangi rakan sepasukan, Gilbert Gabriel Daim yang mendapat 365.25 manakala gangsa diraih wakil Singapura, Avvir Tham Pac Pun (360.45 mata).

“Sepanjang terjunan semuanya berjalan dengan baik cuma di hujung-hujung kurang lancar.

“Saya gembira dapat pingat emas dan tahun ini saya dapat satu lagi pingat untuk Malaysia di Sukan SEA. Terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan semua terlibat,” kata anak kelahiran Perak itu.