ENIQ World Group meneruskan tajaan buat tahun kedua berturut-turut selepas menandatangani perjanjian kerjasama strategik baharu bersama Kelantan Darul Naim FC.
Berita gembira buat pihak KDN FC ini telah dikongsi menerusi laman Facebook rasmi Kelantan Darul Naim FC sendiri.
Eniq World Group merupakan sebuah syarikat yang mempunyai banyak rangkaian anak syarikat dibawahnya, seperti Eniq World Property Sdn Bhd, Eniq World Automobile (M) Sdn. Bhd, Eniq World Design & Hardware Sdn Bhd, Eniq World Travel Sdn Bhd, Glow Glowing Beauty Skin serta O’Betty.
Menariknya, salah satu anak syarikat mereka, Der Eniq TV turut mengikuti jejak langkah dalam menjadi sebahagian daripada kelab setelah bersetuju menjadi rakan penyiar Sang Kijang Emas untuk musim ini.

Sekitar majlis kerjasama berlangsung antara Eniq World Group dan KDN FC.
Der Eniq TV bergerak sebagai sebuah medium alternatif seiring dengan perkembangan teknologi di hujung jari apabila meletakkan misi dan visi berasaskan medium hebahan serta perkongsian di laman sosial menerusi liputan siaran langsung atau berbentuk rakaman.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad meluahkan rasa gembira dengan perjanjian yang telah dimeterai dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat Eniq World Group terutamanya buat Datuk Mohd Rowi, Pengarah Urusan Eniq Group setelah bersetuju untuk bersama KDN FC pada musim ini.
“Kesediaan pihak Eniq World Group jelas telah menaikkan semangat beliau dan pihak pengurusan kelab yang lain untuk membina sebuah pasukan yang berdaya saing.
“Secara tidak langsung, kita berharap ia juga akan memberikan cabaran hebat kepada semua kelab dalam saingan Liga Malaysia musim ini,” menurut kenyataan yang dihantar oleh KDN FC.