GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus dirundung malang apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka China sekali gus gagal mempertahankan gelaran buat kali kedua berturut-turut selepas episod sama di Terbuka Jepun Ahad lalu.

Kekalahan kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Dong Ju itu bakal menyaksikan kedudukan ranking mereka terus merosot selepas kehilangan status nombor satu dunia.

Sze Fei-Izzuddin pada awalnya memberi harapan apabila memenangi set pertama 21-15 sebelum dipaksa tunduk 15-21, 17-21 dalam tempoh 56 minit oleh pasangan bukan pilihan itu.

“Kami dah cuba yang terbaik dan saya rasa pihak lawan bermain lebih baik daripada kami,” kata Sze Fei yang mengakui corak agresif lawan terlalu sukar dibendung.

Lebih mengecewakan, mereka gagal menguasai rali awal apabila sering ditekan menerusi pukulan lurus (drive) pertama yang memberi kelebihan kepada lawan untuk mengawal permainan.

“Saya rasa dari segi pukulan lurus pertama, mereka mengawal sepenuhnya permainan, ya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan di Changzhou.