SIKU sudah dimasukkan, semangat kembali membara, namun tuah terus meminggirkan Mohamad Azlan Alias dan skuad sepak takraw negara yang terpaksa akur tewas di pentas akhir regu berpasukan Piala Asia, semalam.

Biarpun sendi siku kirinya terkeluar ketika mendarat selepas rejaman padu di set kedua, Azlan tetap bangkit dan meneruskan aksi dalam keadaan kesakitan demi maruah negara, malah sempat memenangi set kedua.

“Siku saya terkeluar dari posisi. Saya sendiri tolak balik ke tempat asal… memang amat sakit. Tapi selagi tak mati, tangan tak patah, saya tetap berjuang. Bermain untuk Malaysia adalah satu perkara yang sangat penting,” kata Azlan, muram.

Skuad takraw negara akur tewas di pentas akhir regu berpasukan Piala Asia, semalam.

Namun kecekalan itu belum cukup untuk mengubah nasib apabila gandingan Azlan bersama Mohammad Syahir Rosdi dan Amirul Zazwan Amir tetap tumbang kepada musuh ketat, Thailand, 11-15, 15-12, 15-17 di Stadium Titiwangsa.

Kekalahan itu memadam harapan Malaysia menamatkan kemarau 34 tahun kejuaraan regu berpasukan, meskipun beraksi di gelanggang sendiri dengan sorakan padu penyokong yang mengharap magis.

Azlan menegaskan kecederaan itu bukan alasan kekalahan, sebaliknya memuji rakan sepasukan yang turut berjuang habis-habisan menentang regu terbaik dunia.

Azlan kini menumpukan usaha pemulihan dengan sasaran kembali cergas untuk Piala Raja Thai, Julai depan, dan Sukan SEA di Bangkok hujung tahun ini.

“Saya akan pulih segera dan bangkit lebih kuat,” katanya sambil berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas bantuan segera.