DEMAM perlawanan Maybank Challenge Cup Malaysia 2025 semakin terasa apabila penganjur perlawanan, ProEvents Group, mengumumkan satu kejutan eksklusif buat peminat Manchester United yang memiliki tiket peluang memenangi jersi edisi terhad Europa League Final 2025 yang hanya dicetak sebanyak 528 helai sahaja.
Pengumuman istimewa itu dibuat dalam sidang media eksklusif bersama legenda Red Devils, Ryan Giggs, yang kini berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan perlawanan bersejarah antara Manchester United menentang ASEAN All-Stars yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

“Ini peluang keemasan untuk penyokong memenangi dan memakai jersi yang sama seperti dipakai pemain Manchester United pada malam final Eropah. Ia sangat eksklusif, hanya 528 unit dan hanya pemilik tiket yang layak memenanginya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group dalam sidang media tersebut.
Apa yang menjadikan pemberian ini lebih istimewa adalah jumlahnya yang sangat terhad satu angka simbolik yang mewakili keunikan perlawanan tersebut dan menghargai sokongan padu penyokong di Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Bukan sahaja berpeluang menyaksikan perlawanan bersejarah, peminat juga boleh membawa pulang kenangan fizikal yang sukar dicari ganti.
Jersi ini akan diagihkan secara cabutan bertuah kepada pemilik tiket yang sah. Jadi, setiap tiket yang dibeli bukan hanya sekadar akses ke stadium, tetapi juga tiket ke arah memiliki secebis sejarah United.
Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tiket, ini adalah masa yang tepat untuk bertindak. Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi: www.myticketempire.com/manumy dan dijangka akan terus laris menjelang hari perlawanan.