“PEMINAT nak kami menang, itu hak mereka. Tapi kami nak buat yang terbaik. Itu tanggungjawab kami.”
Itu luahan jujur pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia yang enggan terlalu dibebani harapan tinggi penyokong menjelang kempen Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena minggu ini.
Aaron bersama gandingannya, Soh Wooi Yik tiba dari Bangkok tengah malam tadi dan terus turun ke gelanggang hari ini, bagi menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan.
“Tidur memang tak cukup tapi sempat rehat. Esok masih ada masa untuk bersedia sebelum aksi Rabu,” kata Aaron, ditemui di Axiata Arena.
Juara Terbuka Thailand itu bakal membuka tirai kempen menentang Wang Chi Lin-Chiu Hsiang Chieh dari Taiwan dan Aaron menyifatkan ia perlawanan sukar.
“Rekod kami seri satu sama. Bukan mudah, tapi kami akan cuba yang terbaik,” katanya.
Bagi Wooi Yik, tempoh masa singkat antara kejohanan bukan alasan untuk beraksi sambil lewa.
“Kita baru sampai, tapi sempat rasa gelanggang. Angin agak kuat, bulu tangkis pun laju. Tapi kami dah biasa main di sini.”
Mengulas tekanan beraksi di laman sendiri, Aaron enggan terlalu memikirkannya. “Kena nikmati permainan. Bila kita enjoy, barulah boleh main dengan baik. Menang atau kalah nombor dua,” ujarnya.
Aaron turut memuji sentuhan jurulatih Herry Iman Pierngadi yang banyak membantu dari segi taktikal.
“Dia nak kami main lebih menyerang tanpa lambung bola. Itu yang kami sedang sesuaikan sekarang,” jelasnya.