PENJAGA gawang Futsal Kebangsaan dan Selangor, Noorasyeimah Mohamad Rashid sentiasa memastikan dirinya mengambil makanan berkarbohidrat kompleks ketika bersahur untuk membantu dirinya kekal bertenaga menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan.
Dia juga akan memastikan dia menjaga pemakanan ketika musim Aidilfitri kerana tidak mahu menjejaskan kesihatan dan yang paling penting tidak bertambah berat badan kerana ianya akan menyukarkan proses latihan.
Bagaimanapun Syeima yang dilahirkan di Ipoh, Perak tetap tidak melepaskan makanan kegemarannya iaitu rendang daging resipi keluarganya dan soto banjar sebagai hidangan istimewa pada pagi 1 Syawal.
Meskipun sudah bergelar atlet kebangsaan, Syiema masih menerima duit raya dan dia juga memberi duit raya kepada anak-anak buahnya dan dia gembira melihat kanak-kanak tersenyum riang apabila mendapat duit raya.
“Agak mencabar untuk kami menjalankan ibadah puasa dengan melakukan aktiviti dan latihan yang sama seperti waktu lain kerana sudah pasti kami berasa lapar dan dahaga selepas latihan.
“Tetapi kami kena pastikan ketika sahur, kami mengambil makanan yang mengandungi nutrisi seperti karbohidrat kompleks yang membolehkan kami bertahan dan tidak merasa terlalu lapar,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Syeima turut berkongsi antara detik yang tidak dapat dilupakan sebagai seorang atlet ketika Aidilfitri adalah apabila tidak dapat beraya bersama keluarga kerana berada dalam kem latihan untuk persiapan menghadapi sebarang kejohanan yang disertai.
Namun dia memahami itu adalah sebahagian daripada pengorbanan yang perlu dilalui oleh seorang atlet dalam usaha mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Dia akan meneruskan persiapan selepas Aidilfitri untuk menghadapi musim baharu Liga Futsal Wanita Kebangsaan dengan menjalani latihan spesifik untuk penjaga gol futsal selain untuk mengekalkan kecergasan dan persediaan diri.