SELEPAS kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam bermula pada Julai lalu, diikuti perobohan bumbung kira-kira sebulan lalu, ia telah memberi tanda positif mengenai jangka masa untuk menyiapkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan bahawa KSSA akan siap didirikan seawalnya pada akhir tahun 2026 berbanding tahun 2027 yang diperkatakan sebelum ini, gara-gara proses perobohan yang dilihat berjalan dengan teratur.
Tidak hanya itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya telah mendahului beberapa hari daripada jadual mengenai kerja perobohan itu. Jadi dalam masa yang sama, ia bermaksud kerja-kerja merobohkan bangunan stadium itu dapat disiapkan dengan lebih cepat berbanding tempoh setahun yang ditetapkan.
“InsyaAllah ia mengikut jadual untuk kita siapkan pada suku pertama tahun 2027 atau paling cepat pada akhir tahun 2026, tetapi ini adalah struktur besar yang kita tidak magu tergesa-gesa sebab ia akan melibatkan kesan keselamatan dan keselesaan penonton pada masa depan.
“Proses nak bina stadium ini kita tak mampu panggil jin Nabi Sulaiman lagi, nak buat dalam masa sehari. Jadi kita kena ikut jadual. Tapi aspek-aspek keselamatan dan kekukuhan bangunan itu ada jaminan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pra-Pelancaran Selangor Cyber Games yang berlangsung di Dewan Beringin Gombak pada Ahad.
Sementara itu, dengan jaminan bahawa KSSA yang akan didirikan nanti bakal menjadi sebuah kompleks yang diiktiraf dunia, setaraf dengan stadium-stadium berkelas antarabangsa, Amirudin turut berkongsi bahawa pihak pemaju telah mendapatkan konsultan terbaik untuk dijadikan contoh.
“Kita telah mensyaratkan pihak pembangun dan pemaju dapatkan konsultan serta rujukan daripada syarikat yang pernah terlibat membina stadium diiktiraf dunia. Jadi mereka telah dapatkan kerana konsultan yang digunakan itu bukan hanya membina stadium di Malaysia, tetapi terlibat dalam pembinaan stadium di United Kingdom, Sepanyol dan beberapa lagi.
“Konteksnya, adalah teknologi terkini dengan membolehkan stadium itu juga berfungsi sebagai acara-acara lain selain acara padang, seperti konsert, seminar ataupun perhimpunan,”tambah beliau.