PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan sasaran berani memburu empat daripada tujuh emas badminton di Sukan SEA Thailand.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, secara keseluruhannya skuad badminton menyasarkan meraih pingat dalam setiap acara yang dipertandingkan.

“Sasaran kita ialah tujuh pingat keseluruhan dan empat daripadanya mesti emas,” kata Tengku Zafrul pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad badminton negara ke Sukan SEA Thailand.

Beliau berkata, sasaran itu bukan keputusan terburu-buru sebaliknya hasil persetujuan semua pihak: “Kita sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan, ia keputusan yang dibuat secara bersama.”

BAM mempertaruhkan barisan paling kuat termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjadi nadi utama misi merangkul emas pada edisi kali ini.

Tengku Zafrul turut mengingatkan pertandingan kali ini lebih mencabar apabila menegaskan, “Ia bukan tugas mudah kerana kita akan berdepan tentangan hebat daripada negara lain.”

Antara acara yang diyakini mampu menyambar emas ialah beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu campuran Tang Jie-Ee Wei dan berpasukan lelaki.

Malaysia kali terakhir memenangi emas badminton pada edisi Hanoi 2021 melalui gandingan campuran Tang Jie-Peck Yen Wei namun kini dituntut untuk mengembalikan dominasi.

Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky pula tampil optimis apabila berkata: “Saya boleh katakan sasaran empat emas ini realistik berdasarkan senarai pemain yang kita bawa.”

Beliau menambah perubahan skuad lelaki Indonesia turut membuka ruang keyakinan, “Pada awalnya kami tidak meletakkan sasaran emas untuk acara berpasukan (lelaki), tetapi semuanya berubah selepas Indonesia umum senarai pemain mereka.”

Skuad lelaki negara dibarisi beregu nombor 2 dunia, Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, manakala beregu wanita Pearly-Thinaah (no.2), Go Pei Kee-Teoh Mei Xing (22) selain juara dunia beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei (no.3).