PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus membuktikan statusnya sebagai antara atlet paling berbakat Malaysia apabila berjaya menyamai rekod kebangsaan acara 100 meter (m) sekali gus melakar sejarah mara ke Grand Final NCAA di Amerika Syarikat.
Atlet kelahiran Perak itu mencatat masa 10.09 saat dalam aksi suku akhir Kejohanan NCAA Track & Field East Regional, menyamai rekod kebangsaan yang pernah dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Azeem muncul atlet Malaysia pertama berjaya menempah tiket ke final acara individu 100m dalam saingan NCAA, satu pencapaian yang cukup membanggakan buat olahraga negara.
Sebelum itu, wakil Universiti Auburn berkenaan sudah menunjukkan petanda positif apabila mencatat masa 10.13s pada pusingan awal untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Azeem kemudian meningkatkan prestasinya dalam perlumbaan seterusnya apabila berjaya memperbaiki catatan masa dan menamatkan saingan antara pelari terbaik untuk mengesahkan tempat ke pentas final.
Peningkatan konsisten yang dipamerkan sepanjang musim ini menguatkan lagi keyakinan bahawa beliau mampu bersaing dengan atlet bertaraf dunia menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang.
Pencapaian terbaharu itu juga hadir tepat pada masanya ketika Malaysia sedang mempersiapkan atlet terbaik bagi menghadapi temasya besar termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung September depan.
Dengan prestasi semasa yang semakin meyakinkan, Azeem dijangka terus menjadi sandaran utama negara dalam acara pecut lelaki bersama seorang lagi pelari muda berbakat, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Sumber Gambar: FB Auburn Track & Field