BEREGU lelaki muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mencipta kejutan di Kejohanan Badminton Masters Indonesia, apabila menyingkirkan pasangan nombor tujuh dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan pertama.
GANDINGAN ranking ke-20 dunia itu hanya memerlukan tempoh 30 minit bagi mencatat kemenangan ke atas lawan berkenaan 21-17, 21-19 pada aksi di Istora Senayan, Jakarta.
Selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan kedua Terbuka India, kemenangan ke atas pasangan Taiwan itu pastinya menjadi penyuntik kebangkitan buat mereka.
Menanti mereka di pusingan kedua, beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun teruskan kemaraan.
Sementara itu, bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan tiket ke pusingan 16 terakhir apabila menundukkan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-13, 23-21.
Pilihan kedua kejohanan itu akan menentang Lu Ming Che-Tang Kai Wei dari Taiwan yang membenam cabaran pemain negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 23-21, 14-21, 21-19.
Terdahulu, dua lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut berjaya melepasi halangan pusingan pertama.
Dalam saingan beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mengejutkan pasanan ranking ke-17 dunia dari Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Cien Hui 21-16, 22-20 pada aksi pusingan pertama.