ATLET muda seawal 14 tahun diharap mampu mencipta kejutan pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, sekali gus memastikan negara tidak ketandusan wira di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, menerusi temasya inilah bakat baru dikesan yang kini mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Kita nak pada temasya ini, akan tampil atlet baru bermula dari usia 14 tahun dan atlet yang bertanding di sini, saya percaya akan menjadi pengganti atlet lama yang bera di penghujung kerier,” kata Faizal, dalam sidang media, selepas perasmian pembukaan temasya itu, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.

Majlis itu dirasmikan Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeane Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail  dan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

 

Penaung MPM, Tun Jeanne Abdullah merasmikan pembukaan Para Sukma 2022.

 

Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 membuka tirai temasya, dengan tumpuan kepada juara bertahan, Sarawak sama ada mampu mempertahankan gelaran yang mereka sandang ataupun ada juara baharu bakal dinobatkan pada temasya kali ini.

Selaku penyandang juara pada temasya lalu di Perak, Kontinjen Sarawak sejak awal lagi telah melaungkan keyakinan mereka untuk sekali lagi mendominasi Para Sukma dengan sasaran untuk meraih 64 emas setelah mengambil bahagian dalam 10 sukan yang dipertandingkan.

Johor dan Selangor diramal menjadi pencabar utama kepada Negeri Bumi Kenyalang itu yang telahpun bergelar juara sebanyak 13 kali sepanjang sejarah Para Sukma diperkenalkan sejak 1982.

Pada temasya 2018, Sarawak menggondol 61 pingat emas, manakala, Sabah di tangga kedua dengan 36 emas dan Perak pula di kedudukan ketiga setelah mengumpul 29 emas.

Para Sukma 2022 membabitkan penyertaan 15 kontinjen yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Perak, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara sukan yang akan dipertandingkan adalah boccia, akuatik renang, badminton, catur, boling padang memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.

Mohammad Ridzuan Puzi antara bakat yang lahir dari Para Sukma

Temasya Para Sukma pernah melahirkan atlet ternama dunia seperti Mohammad Ridzuan Puzi, Bonnie Bunyau Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah.

Sebanyak empat lokasi dipilih menjadi venue pertandingan untuk edisi kali ini antaranya Bukit Jalil, Kampung Pandan dan Bukit Kiara membabitkan 294 acara daripada 10 jenis sukan.

Seramai 1,824 atlet dan pegawai terbabit dalam temasya kali ini.