LAPAN pemain kebangsaan dan tiga pemain import dari Fiji sah memperkuatkan pasukan Putrajaya mengharungi kejohanan Ragbi Piala Agong 2022 bermula 5 November hingga 3 Disember nanti.
Pemain ragbi kebangsaan, K Dineshvaran dan jurulatih dari New Zealand, Brad Mika antara nama-nama besar yang dibawa masuk Putrajaya untuk memberikan saingan kepada pasukan lain.
Kali terakhir penyertaan Putrajaya dalam kejohanan seumpama ini adalah pada 2019 dengan menamatkan saingan diperingkat separuh akhir selepas terkandas di tangan Sabah.
Bagi K Dineshvaran atau lebih mesra dengan panggilan Dugro, dia menjelaskan pemilihan Putrajaya lebih kepada pembangunan pemain-pemain muda dan bukannya terarah kepada kemenangan semata-mata.
“Sudah pasti saya sangat teruja kerana kali terakhir saya beraksi di Piala Agong pada 2012.
“Kali terakhir saya beraksi dalam pentas tempatan adalah 10 tahun lalu dan ini kali pertama saya dapat bersama rakan-rakan bersaing di atas padang yang sama.
“Saya yakin saingan pasti sengit dan saya harap kehadiran saya bersama Putrajaya dapat membantu mereka mendapat keputusan yang positif.
“Saya juga tidak diletakkan sebarang tekanan kerana fokus Putrajaya bukan sekadar mencari kemenangan malah mereka ke arah pembangunan.
“Sebab itu saya memilih untuk bersama Putrajaya meskipun dirisik beberapa pasukan lain untuk bersaing di Piala Agong musim ini,” kata ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jersi Pasukan Ragbi Putrajaya di Hotel Tenera Bangi pada Sabtu.
Putrajaya diletakkan dalam Kumpulan C bersama Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak bagi kejohanan yang memasuki edisi ke-39 tahun ini.
Juara 2019, Terengganu pula diundi dalam Kumpulan A bersama Melaka, Kedah dan Johor.
Perak pula yang merupakan Juara 2016, akan berdepan Negeri Sembilan, Pahang dan ATM dalam Kumpulan B, manakala, Kuala Lumpur, PDRM, Kelantan dan Perlis dalam aksi Kumpulan D.
Putrajaya pernah mara ke peringkat separuh akhir edisi 2019 yang merupakan edisi terakhir namun impian mereka untuk pentas final terkandas selepas tewas di tangan Sabah.