PENGELOLA Malaysia Football League (MFL) sudah mengarahkan pengurusan kelab Sarawak United FC untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang kini melanda kelab itu.

MFL memberikan 14 hari bermula hari ini untuk perkara ini diselesaikan atau Sarawak United FC tidak akan dibenarkan bertanding dalam saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula selepas berakhir Liga Super pertengahan Oktober ini.

Selain itu MFL juga telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu dan meringankan beban pemain dan pegawai Sarawak United FC yang mengalami masalah tunggakan gaji.

Ia diputuskan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi Penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Ab Ghani Hassan.

“Berdasarkan laporan yang MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.

“Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku melibatkan Sarawak United. Justeru MFL mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini dan seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil di mana kemungkinan slot bertanding di TM Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan,” jelas satu kenyataan rasmi MFL pada Jumaat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PFAM, mereka menyambut baik usaha yang ditunjukkan MFL dan akan berkerjasama dalam segala usaha yang mengetengahkan kebajikan dan kesejahteraan pemain.

Menurut PFAM, pihaknya akan membantu MFL untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada pemain Sarawak United FC seperti yang dipersetujui oleh MFL.