LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek mahu menggunakan pengalaman yang ada padanya untuk melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh badminton tanah air sehingga bertaraf juara dunia.
Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Piala Thomas 1992 juga percaya dengan perancangan BAM untuk terus menghasilkan pemain yang boleh menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.
Beliau yang kini bergelar Ketua Jurulatih dan Pengarah Program Latihan Akademi Badminton IOI Rashid Sidek mahu menggunakan arena berkelas dunia itu sebagai tempat latihan untuk melahirkan juara kebangsaan baharu.
“Saya mahu melatih dan mengembangkan bakat-bakat baharu di fasiliti yang bertaraf dunia ini supaya suatu hari nanti mereka boleh menjadi juara kebangsaan dan ini adalah sasaran saya buat akademi ini.
“Saya percaya kita akan ada juara dunia dalam tempoh lima tahun dengan BAM sudah mempunyai pemain yang bagus seperti Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong serta pemain beregu dan saya yakin dengan kemampuan BAM dalam perkara ini.
“Kita mempunyai barisan yang mantap dalam kategori lelaki namun tidak untuk wanita. Pemain wanita terutama perseorangan ada kekurangan dan mungkin akan ada pemain yang bagus dari akademei ini yang boleh kita kembangkan lagi permainan mereka dan juga boleh menghasilkan lebih banyak pemain di kawasan ini.

Datuk Rashid Sidek
“Apa jua pengalaman yang saya ada saya akan curahkan kepada pemain kerana inilah masanya untuk saya berikan pada generasi terkini. Tidak guna kita simpan pengalaman yang kita ada dan harap ianya dapat dimanfaatkan,” kata beliau kepada media.
Ditanya apakah yang perlu ada pada setiap pemain untuk bergelar juara dunia dan membawa pulang semula Piala Thomas, Rashid berkata pemain hanya perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana itu adalah perkara utama dalam sukan badminton yang sangat kompetitif masa kini.