TEQBALL Malaysia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada penampilan di Sukan SEA Bangkok, tahun ini.

Jurulatih kebangsaan, Hasnor Ibrahim berkata, pihaknya sudah mendapat lampu hijau untuk menghantar lapan atlet, empat lelaki dan empat wanita untuk bersaing dalam lima kategori yang dipertandingkan.

“Kami bersyukur kerana pada awalnya hanya dua atau tiga atlet diterima, tetapi selepas penjelasan, akhirnya penyertaan lapan atlet negara diluluskan,” katanya.

Ash Hameed harapan terbaik Teqball Malaysia di Sukan Sea Thailand.

Beliau menegaskan sasaran pingat emas diletakkan kepada pemain perseorangan lelaki, Ash Hameed yang sebelum ini meraih gangsa di Sukan SEA Kemboja meskipun beraksi dengan kecederaan.

“Kalau dia benar-benar cergas kali ini dengan latihan intensif dan rawatan perubatan yang dijalani, saya yakin kita boleh mencabar dominasi Thailand,” ujar Hasnor yang optimis anak buahnya mampu mencipta kejutan.

Ketua jurulatih Teball Malaysia, Hasnor Ibrahim.

Selain emas, skuad Teqball negara turut menyasarkan empat pingat perak dalam acara lain sambil menjadikan pencapaian ke pusingan 16 di Kejohanan Dunia di Vietnam, Disember lalu, sebagai batu loncatan.

Hasnor mendedahkan barisan pemain negara kebanyakannya bekas atlet sepak takraw termasuk sandaran utama wanita, Nur Natasha Amyra, yang diyakini mampu menyerlah dalam perseorangan meskipun masih baharu di pentas antarabangsa.