MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan penganjuran semula Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan satu keperluan mendesak buat masa ini, memandangkan kos yang terlalu tinggi boleh dimanfaatkan untuk membangunkan sukan lain di negara ini.
Beliau berkata, yuran penganjuran yang mencecah RM300 juta setahun kepada Liberty Media selaku pemegang hak komersial F1, selain kontrak minimum tiga hingga lima tahun yang boleh menelan sehingga RM1.5 bilion, adalah beban besar untuk ditanggung negara.
Menurut Hannah, jumlah tersebut mampu menampung pelbagai program pembangunan sukan seperti Program Podium dan inisiatif Road To Gold (RTG) yang memberi manfaat kepada ratusan atlet elit. Malah, kos berkenaan juga bersamaan dengan penganjuran 50 acara sukan antarabangsa melibatkan ratusan ribu peserta tempatan sepanjang 10 tahun.
“Kita kena utamakan apa yang memberi pulangan kepada lebih ramai atlet. F1 memang gah, tetapi nilainya tidak sepadan jika dibandingkan dengan pembangunan bakat sukan negara,” jelasnya ketika sesi Parlimen pada Khamis.
Hannah turut mengingatkan bahawa jadual F1 semakin padat di rantau ini dengan Singapura kekal menganjurkan perlumbaan malam dan Thailand bakal menjadi tuan rumah tidak lama lagi, sekali gus menyukarkan Malaysia untuk merebut tempat serta menjana keuntungan setimpal.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pintu tidak ditutup sepenuhnya, kerana jika ada pihak korporat berminat menanggung kos besar itu, peluang untuk membawa kembali aksi F1 ke Sepang masih boleh dibincangkan bersama SIC.
foto:Bernama