PEMAIN muda Harimau Malaya, Fergus Tierney, secara rasmi mengesahkan penyertaannya ke kelab Nakhon Pathom United dalam Liga Thailand, sambil meluahkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor,  Tunku Mahkota Ismail (TMJ) atas peluang berharga tersebut.

Fergus membuat pengumuman itu menerusi hantaran di laman X dengan kapsyen penuh semangat untuk memulakan cabaran baharunya bersama kelab tersebut.

“Teruja untuk cabaran baharu bersama Nakhon Pathom United dalam Liga Thailand. Terima kasih atas peluang ini @HRHJohorII,” tulis Fergus dalam hantaran tersebut.

Hantaran itu bukan sahaja mencerminkan kegembiraan Fergus, malah turut menonjolkan rasa hormat dan terima kasih kepada TMJ, yang dilihat memainkan peranan penting dalam perjalanan besar ini.

Pemain berbakat yang sebelum ini beraksi bersama Chonburi FC di Liga Thailand itu memilih Nakhon Pathom United sebagai destinasi baharu untuk mengembangkan kerjayanya. 

Perpindahan ini dianggap sebagai titik perubahan penting bagi Fergus, yang kini digelar sebagai salah seorang prospek terbaik bola sepak Malaysia.

Langkah ini juga menyerlahkan usaha berterusan TMJ dalam membuka jalan untuk pemain tempatan mencipta nama di luar negara.

Malah, TMJ sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap pembangunan bola sepak Malaysia dengan memberi peluang kepada pemain muda untuk bersinar di pentas antarabangsa.

Berita ini disambut baik oleh peminat bola sepak tempatan, yang meletakkan harapan tinggi agar Fergus dapat menunjukkan kehebatannya di Liga Thailand.

Dengan semangat dan tekad yang dibawanya, Fergus dijangka bukan sahaja memberikan impak positif kepada Nakhon Pathom United, tetapi juga membawa pulang pengalaman berharga untuk dimanfaatkan bersama skuad Harimau Malaya di masa depan.