REXY Mainaky menyifatkan persembahan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Terbuka Jepun semakin positif dan menunjukkan petanda cerah menjelang Kejohanan Dunia, Ogos depan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu itu percaya gandingan utama negara itu mampu memberi kejutan apabila turun menentang pasangan nombor dua dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir Terbuka Jepun, esok.

Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky, mahi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengekalkan momentum kemenangan.
Tang Jie-Ee Wei yang kini menduduki ranking keempat dunia mara bergaya ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-14, 21-12 di Tokyo hari ini.
“Dari pusingan pertama hingga kedua mereka nampak teragak-agak sedikit, tapi aksi hari ini sangat meyakinkan, terutamanya Ee Wei yang cemerlang di depan jaring,” kata Rexy yang mahu rentak itu dikekalkan.
Ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), beliau berkata, sejak beregu itu kembali disatukan, masih melalui proses penyesuaian semula namun kemenangan hari ini jadi petanda penting menuju misi lebih besar.

Toh Ee Wei yang bergandingan dengan Chen Tang Jie sudah melepasi banyak fasa turun naik, kini tiba masa buktikan kematangan.
“Kita tahu Zhen Bang-Ya Xin lawan yang sangat kuat, tapi kalau mereka kekalkan fokus macam hari ini, peluang tetap ada,” tegas Rexy penuh keyakinan.
Setakat ini, pasangan dari China itu mendahului rekod pertemuan 2-1 ke atas Tang Jie-Ee Wei dalam tiga pertemuan terakhir mereka.
Sementara itu, impian Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mencipta pertembungan sesama Malaysia musnah selepas mereka tumpas kepada Zhen Bang-Ya Xin 13-21, 21-23 di suku akhir.