SUSULAN insiden yang menimpa jaguh berbasikal trek negara Jumaat lalu, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa melepaskan impian untuk ke Sukan Asia terakhirnya kerana kecederaan serius di bahagian pinggul dan kaki kiri.
Azizulhasni yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman telah mengumumkan keputusan yang berat itu dalam satu sidang media khas di Majlis Sukan Negara (MSN), pada Rabu.
Pelumba dari Dungun yang menjadi harapan negara untuk merebut pingat emas dalam dua kategori acara iaitu keirin dan pecut individu bagaimanapun terpaksa akur akan kemalangan yang menimpa nasibnya kali ini.
“Dukacita saya maklumkan bahawa kami telah sebulat suara untuk saya menarik diri daripada Sukan Asia dan saya turut memohon maaf kepada seluruh kontinjen negara juga rakyat Malaysia yang berharap saya turun beraksi di Hangzhou.
“Saya tidak menjangka kecederaan ini akan berlarutan sehingga saya merasakan sendiri kesakitannya pada hari ketiga saya menjalani latihan seperti biasa.
“Esok merupakan hari terakhir saya turun ke sesi latihan bagi membakar semangat pasukan saya dan selepas itu saya akan memberi fokus sepenuhnya kepada Sukan Olimpik Paris tahun depan,” kata beliau dalam sidang media.
Pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, Azizulhasni berjaya meraih satu pingat emas dalam acara pecut individu selain turut meraih satu pingat perak dan satu gangsa.
Di Sukan Asia Guangzhou 2020 pula, pelumba negara ini berjaya menyambar pingat emas dalam acara kegemarannya iaitu keirin.