SAINGAN Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL MY) musim ke-16 bakal membuka tirai pada 13 September 2025 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. Pertarungan kali ini dijangka lebih sengit dengan kemunculan pasukan baharu yang bersedia mencabar dominasi lama.

Musim ini akan menyaksikan penampilan sulung tiga pasukan — Untitled, CG Esport dan GamesMY Kelantan. Kehadiran mereka bukan sahaja memberi nafas segar, malah diharap mampu mengimbangi persaingan dengan pasukan berpengalaman.

Namun tumpuan utama pastinya terarah kepada SRG.OG, juara bertahan yang cukup konsisten sejak musim lalu. Persoalannya, mampukah mereka mengekalkan takhta atau gelaran itu bakal berpindah tangan?

Aksi minggu pertama bakal bermula panas dengan tiga perlawanan pada 13 September. Monster Vicious akan menentang Team Vamos, Aero Esport bertemu Untitled, manakala kemuncak malam mempertemukan SRG.OG dengan HomeBois.

Pertarungan diteruskan pada 14 September dengan Team Rey menentang Todak, diikuti CG Esport berdepan GamesMY Kelantan, sebelum Team Vamos kembali turun menentang HomeBois.

Selain memburu gelaran juara, MPL MY S16 juga menawarkan tiket berharga ke Kejohanan Dunia M7 yang dijadual berlangsung di Indonesia pada Januari 2026. Dengan habuan lumayan dan peluang mengukir nama di pentas antarabangsa, setiap pasukan pasti akan berjuang habis-habisan.

Tiket perlawanan kini sudah mula dijual dan boleh didapati melalui laman web rasmi MPL MY. Peminat juga boleh mengikuti perkembangan serta maklumat lanjut menerusi akaun rasmi MPL MY di platform media sosial.

 

sumber: Izzac