MENJADI juara dunia bukan sahaja mengangkat maruah negara, malah membuka pintu rezeki apabila Toh Ee Wei menerima insentif khas RM50,000 daripada kerajaan negeri Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan Ee Wei bersama gandingannya, Chen Tang Jie di Paris membuktikan usaha gigih atlet akhirnya berbaloi.

Menurutnya, kemenangan itu bukan sekadar mencipta sejarah, malah menjadi sumber kebanggaan seluruh rakyat Melaka.

Chen Tang Jie bersama Ketya Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh |FB Peminat Badminton

“Kerajaan negeri amat menghargai pencapaian Toh Ee Wei yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Ab Rauf menegaskan insentif itu diharap menjadi suntikan motivasi kepada anak muda Melaka untuk turut berjaya di pentas antarabangsa.

Ee Wei menerima insentif itu di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam, turut menyatakan hasrat menubuhkan sebuah akademi badminton di negeri kelahirannya.

“Kerajaan negeri menyambut baik cadangan ini kerana ia menyumbang besar kepada pembangunan sukan dan memberi ruang buat beliau berbakti kepada tanah tumpah darahnya,” ujar Ab Rauf.