PASUKAN Maqna Esports Club (MEC) mengesahkan status sebagai kuasa baharu arena e-sukan tempatan selepas muncul juara PUBG MOBILE Pro League (PMPL) Malaysia Spring 2026 yang melabuhkan tirainya, semalam.  

Pasukan itu menampilkan prestasi konsisten dari peringkat liga hingga ke Grand Finals, sekali gus membolehkan mereka mengungguli kejohanan dan membawa pulang hadiah utama berjumlah USD12,250.  

Barisan pemain terdiri daripada KEEM, FEXCRY, SYAMIL, VOKEY dan IFTAR menjadi tulang belakang kejayaan MEC, dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman terbukti berkesan dalam memastikan dominasi mereka sepanjang saingan.

Saingan perebutan kedudukan podium turut berlangsung sengit apabila Team 52 dan AZ Slumber masing-masing menamatkan kejohanan di tempat kedua dan ketiga. Ketiga-tiga pasukan tersebut kini layak mewakili Malaysia ke pentas serantau menerusi PUBG MOBILE Global Open (PMGO) Season 1: SEA Finals di Thailand.

Sementara itu, pasukan Vertice hampir mencipta kejutan apabila mempamerkan aksi cemerlang pada hari terakhir dengan meraih dua ‘Winner Winner Chicken Dinner’ (WWCD), namun terlepas slot tiga terbaik dengan perbezaan mata yang tipis.

Pemain MEC, FEXCRY, yang dinobatkan sebagai Finals Most Valuable Player (FMVP).

Individu paling mencuri tumpuan dalam kejohanan ini adalah pemain MEC, FEXCRY, yang dinobatkan sebagai Finals Most Valuable Player (FMVP). Lebih menarik, ia merupakan penampilan sulung beliau di peringkat profesional, selain turut meraih gelaran League MVP hasil aksi konsisten sepanjang musim.

Kejohanan kali ini turut menyaksikan sambutan luar biasa daripada peminat apabila acara tontonan awam dianjurkan secara fizikal, sekali gus membuktikan perkembangan pesat komuniti e-sukan di Malaysia serta peningkatan minat terhadap kejohanan berskala besar.  

Dengan berakhirnya saingan domestik, tumpuan kini beralih ke peringkat antarabangsa apabila MEC bersama Team 52 dan AZ Slumber bakal membawa cabaran negara ke SEA Finals yang akan berlangsung di Thailand, dalam usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas e-sukan serantau.