PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya menyediakan elaun khas buat pemain yang beraksi untuk skuad Harimau Malaya khususnya dalam menghadapi kejohanan Piala Asia 2024 di Qatar awal tahun depan.

Menurut Tunku Ismail, walaupun jumlah itu tidaklah banyak tetapi sekurang-kurangnya bantuan buat pemain dapat disalurkan kepada pasukan kebangsaan.

“Tak banyak sikit pun jadilah. Saya pernah berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memperuntukkan bajet khas pasukan kebangsaan. Contoh elaun pemain yang mana memberi dan menaikkan moral pemain kami (JDT).

“Saya harap benda itu dapat dilaksanakan tidak lama lagi untuk pasukan kebangsaan. Jadi saya juga nak bagi cadangan kepada kerajaan supaya membantu sikitlah termasuklah untuk Malaysian Football League (MFL) sekali,” katanya dalam program segmen Nindia Bola bersama Hafizal Hamad di Astro Arena pada Isnin.

Sultan Johor, TMJ terima menghadap Anwar di Istana Bukit Pelangi

Ketika diajukan hos adakah perkara ini akan menjadi tidak adil buat sukan lain, beliau sebaliknya enggan mengatakan apa-apa kerana menurutnya bola sepak merupakan pertandingan nombor satu dalam negara.

“Sudah tentu boleh beri kepada sukan lain walaupun sikit … tapi buat ini kita harus memberi fokus kepada pasukan kebangsaan,” katanya lagi.

Malaysia pimpinan Kim Pan-gon akan berdepan Jordan dalam perlawanan pembukaan pada 15 Januari 2024, diikuti Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan pada 25 Januari di Qatar.

Kim Pan Gon

Sementara itu, Tunku Ismail turut memberi pesanan kepada pemain Harimau Selatan supaya hanya melakukan latihan yang betul dan bukannya secara berlebihan ketika bersama dalam kem kebangsaan.

“Pesan kepada skuad pasukan, pemain-pemain dah cergas. Kalau dah pergi skuad kebangsaan just buat proper training bukan overdose. Balik injured. Saya sentiasa bincang dengan Presiden FAM, dengan jurulatih,” ujarnya.

Turut disentuh adalah isu padang yang belum cukup matang semasa aksi Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan isu gaji yang menjadi ‘acara tahunan’ Liga Malaysia sehinggalah ke peringkat akar umbi.