PELUANG cerah buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengembalikan sejarah kemenangan Malaysia dalam saingan Master Malaysia 2024 yang akan berlangsung 21 hingga 26 Mei 2024.
Malaysia yang dilanda kemarau kemenangan selama tujuh tahun sejak tahun 2017, pastinya menagih aksi terbaik daripada pasangan nombor empat dunia itu.
Dengan tanggungjawab yang digalas, Wooi Yik berkongsi bahawa dirinya akan berusaha sehabis baik untuk memberi kemenangan buat Malaysia, dalam Master 2024 yang menjadikan Axiata Arena sebagai gelanggang kejohanan.
“Persiapan semua baik, tahun ini juga kita banyak analisis segala kekurangan dan sebagainya. Kita juga akan ambil kejohanan ini sebagai ujian sebelum kita melangkah ke saingan yang lebih besar.
“Kita cuma fokus kepada permainan, dan jaga kondisi diri kami. Itu paling penting setakat ini. Apa jua, kita akan cuba sedaya upaya untuk bergelar juara di kejohanan Master Malaysia ini, dan cuba yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas ujian gelanggang pada pagi Isnin.
Sementara itu, Aaron Chia pula menambah bahawa dirinya tidak merasai sebarang tekanan, tambah lagi beraksi di gelanggang sendiri, Axiata Arena.
Katanya, untuk siri Jelajah Dunia, perasaan tetap sama walaupun dirinya bergelar ‘first seeded‘. Jadi, dengan adanya peluang tinggi untuk menamatkan penantian kemenangan setelah sekian lama ini, dirinya akan berjuang bersungguh dan pastikan kejayaan Malaysia.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia tampil sebagai juara di Kejohanan Master adalah adalah pada tahun 2017, menerusi gandingan beregu campuran Tan Kian Meng- Lai Pei King.