PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berminat untuk menyertai badan induk bola sepak negara ini.
Bagaimanapun Hamidin menjelaskan bahawa pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sangat komited untuk membantu pasukan kebangsaan.
Malah hubungan baik TMJ bersama FAM dapat dilihat apabila minggu lalu Hamidin dan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat JDT di Iskandar Puteri untuk berbincang mengenai beberapa perkara yang akan memberikan faedah kepada skuad negara.
TMJ tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan termasuk Pengurus Harimau Malaya tetapi baginda komited mahu terus bantu pasukan kebangsaan – Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin#fam#tmj pic.twitter.com/jHzv3rvaVY
— Flash Sukan (@FlashSukan) February 14, 2023
“Tunku Ismail ada menghubungi saya untuk berjumpa saya untuk bercerita tentang kemenangan saya sebagai exco Fifa di Bahrain dan beliau meminta saya membawa bersama Kim Pan-gon untuk berbincang pasal mengenai skuad kebangsaan.
“Beliau tidak berminat untuk pegang mana-mana jawatan dalam pasukan kebangsaan tetapi komited hendak lebih membantu skuad negara terutama sebagai persiapan menghadapi Piala Asia yang bakal berlangsung pada Januari 2024.
“TMJ mahu memperkasakan skuad negara dengan barangan gimnasium yang Kim Pan-gon perlukan dan juga mempelawa kita bermain di Stadium Sultan Ibrahim.
“Pan-gon sendiri suka dengan keadaan padang di stadium itu selain mempunyai peralatan pemulihan yang lengkap di Johor,” katanya ketika bertemu media pada Selasa.

Tidak cukup dengan itu, skuad kebangsaan juga akan menggunakan fasiliti latihan milik JDT sebagai persediaan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan yang memberikan mata yang tinggi buat Harimau Malaya.
Ini bukanlah kali pertama Malaysia berlatih dan bermain di Johor kerana sebelum ini Stadium Larkin digunakan sebagai gelanggang tuan rumah bagi aksi menentang Timor Leste dalam Kelayakan Piala Asia Pusingan Pertama pada 2016.
Hamidin juga mengesahkan dua perlawanan Harimau Malaya pada kalendar Fifa Mac 2023 akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dengan Turkmenistan sudah dipilih sebagai lawan dan satu lagi pasukan adalah antara Chinese Taipei atau Kuwait.