PEMAIN pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui dia tidak sedar dan tidak tahu mengapa pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Myanmar di minit akhir yang mungkin menyebabkan Malaysia kehilangan tiga mata penuh.

Ketika detik itu, Harimau Malaya sedang mendahului 1-0 hasil jaringan Faisal Halim di minit ke-52 namun debaran dirasai seluruh rakyat Malaysia apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Pengadil Jordan itu mendakwa bola terkena tangan Sharul yang lebih mesra disapa Afro namun pertahanan Selangor FC itu menafikannya dan dia berterima kasih kepada penjaga gol, Syihan Hazmi yang berjaya menyelamatkan penalti itu.

“Pertama sekali saya tidak sangka dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil, sebab bagi saya mungkin pandangan pengadil itu terkena tangan tetapi saya tidak tahu sebab saya tak nampak benda itu.

“Saya nak berterima kasih juga kepada Syihan kerana menolong menepis bola daripada penyerang Myanmar, jadi saya rasa banyak lagi kelemahan perlu saya perbaiki,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Stadium Thuwunna selepas tamat aksi Kumpulan B Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Kecemerlangan Syihan memastikan Harimau Malaya berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam kempen kali ini dan kini akan berdepan Laos dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.