KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bengang dengan perangai yang ditonjolkan oleh pemain penyerang Ivan Mamut yang sekali lagi terlibat dengan insiden pertelingkahan selepas perlawanan.

Mamut dilihat bertegang urat dengan rakan sepasukannya, Sony Norde selepas perlawanan sebelum bertelingkah dengan pemain KL City, Romel Morales sejurus wisel penamat.

Pengendali Croatia itu bagaimanapun masih boleh memahami tindakan yang dilakukan oleh pemain berusia 26 tahun itu yang mungkin berpunca daripada peluang yang gagal dimanfaatkan olehnya pada penghujung permainan.

“Saya tak gemar dengan kelakukan Ivan Mamut terutamanya melibatkan provokasi. Dia telah melakukannya ketika berdepan JDT sebelum ini dan dia perlu mengawal emosinya.

“Saya boleh faham tindakan itu kerana mungkin dia kecewa apabila terlepas beberapa peluang menjaringkan gol namun dia tidak sepatutnya melakukan itu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Tomislav juga menegaskan bahawa dia akan berbincang secara peribadi dengan Ivan apabila keadaan sudah mula tenang agar dia memahami kesan tindakan luar kawalannya itu.

“Saya akan bercakap dengan dia tentang perkara ini tetapi apabila saya bangun dari tidur dan mungkin ketika sesi latihan selepas pulang ke Terengganu kerana keadaan akan lebih tenang ketika itu,” tegasnya.

Terengganu FC berjaya mengumpul empat mata dari dua perlawanan dan Tomislav mahu semua pemain kekalkan prestasi untuk berdepan PDRM di Kelana Jaya minggu hadapan.