KONTINJEN Sukan Universiti Dunia (Universiade) langkah kanan pada kempen Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China, dengan langkah kanan selepas merangkul pingat pertama menerusi acara wushu menerusi Mandy Chen.
Beraksi dalam acara tajiquan wanita, Mandy berjaya memungut 9.633 mata sekali gus berpuas hati menamatkan saingan dengan pingat gangsa selepas acara itu dikuasai pasukan tuan rumah, Chen Xiaoli dengan mata 9.783, manakala pingat perak milik Rise Shoji dari Jepun (9.680 mata).
Kejayaan Mandy itu sekali gus menebus kehampaan Calvin Lee Wai Wai Leong yang gagal menghadiahkan pingat dalam acara Nanquan lelaki pada acara pembukaan Wushu pada Jumaat.

Calvin yang juga merupakan pemenang pingat perak pada temasya Universiade Taiwan 2017, sekadar memungut 9.333 mata untuk menduduki tempat ke-6 keseluruhan. China mengondol emas menerusi Cao Maoyuan dengan 9.770 mata diikuti Lau Chi Lung dari Hong Kong pingat perak dengan 9.570 mata manakala gangsa milik Shahin Banitalebi dari Iran dengan 9.566 mata.
Sandaran Malaysia kepada Ang Qi Yue juga tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat ke-7 menerusi acara Changquan lelaki.
Dalam pada itu, sukan taekwondo agak menghampakan apabila tiada atlet negara ke akhir acara poomsae individu wanita dan lelaki.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Kampus Wangjiang itu menyaksikan atlet Universiti Malaya, Siti Nurul Hidayah Abdul Karim mencatatkan 5.73 pungutan mata yang meletakkannya di kedudukan keenam daripada lapan peserta.
Acara itu dimenangi atlet Korea Selatan, Cha Yeaeaun dengan mata 6.42, atlet Taiwan, Hu Tzu Hsuan (6.38) pingat perak dan gangsa milik atlet Iran, Yasaman Limouchi (6.33).

Bagi acara poomsae individu lelaki pula, Jason Loo Jun Wei hanya layak ke separuh akhir selepas menamatkan saingan dengan 6.96 mata di tempat ke-10.

Sementara itu, cabaran negara menerusi acara menembak 10 meter Air Pistol wanita, berakhir hari ini apabila skuad menembak di barisi Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin, Ayuni Ahmad Khairi dan Dina Adi Azhar, menduduki tempat ke-5 daripada 12 pasukan.
Ketiga-tiga penembak juga gagal untuk berada pada kedudukan terbaik dalam acara individu.