SKUAD veteran Singapura berjaya mencatat kemenangan dalam kategori veteran pada edisi ke-21 Piala Sultan Selangor 2025 selepas menewaskan Veteran Selangor 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi penuh sengit itu berakhir 0-0 sepanjang 90 minit.

Perlawanan berlangsung dalam suasana meriah dengan kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang tinggi, walaupun tiada jaringan terhasil, corak permainan yang ditampilkan membuktikan kualiti dan pengalaman para pemain veteran.

Selangor yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, menampilkan disiplin permainan yang baik terutama di bahagian pertahanan, beberapa percubaan berbahaya berjaya dinafikan, mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Dalam penentuan tersebut, skuad veteran Singapura lebih tenang menyempurnakan peluang dan menamatkan saingan dengan kemenangan tipis 3-2. Kemenangan ini menjadi penebus selepas mereka tewas pada edisi ke-20 tahun lalu.

Bagi Selangor, meskipun gagal mempertahankan kejuaraan, persembahan yang ditunjukkan membuktikan mereka masih mampu bersaing di pentas penuh berprestij ini, sokongan padu penyokong turut menambah semangat sepanjang perlawanan.

Kejayaan Singapura dan saingan sengit yang ditampilkan Selangor sekali lagi menyerikan Piala Sultan Selangor, sebuah kejohanan tradisi yang terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan persaingan sihat antara kedua-dua pasukan.