PEMILIK Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan tanpa berselindung mengakui beliau cukup memahami sentimen kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Sebagai individu yang sudah biasa menguruskan perjalanan sesebuah kelab, Vincent Tan menegaskan kejayaan yang dicapai oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukanlah datang bergolek tanpa sebarang persediaan, perancangan rapi serta visi yang serius.

Jelas Vincent Tan, kejayaan ini seharusnya dijadikan ikutan terbaik buat seluruh kelab Liga Malaysia di mana beliau percaya akan lebih banyak pasukan-pasukan negara berkualiti jika dapat mengikuti rentak yang diadunkan oleh Tunku Ismail.

“Sebagai pemilik kelab, saya sangat memahami sentimen ini jika kita bercakap mengenai kejayaan JDT layak ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL.

“Bukan senang untuk menguruskan satu-satu kelab dan apa yang dilakukan oleh TMJ sejak hari pertama mengambil alih JDT, jelas ini bukan satu perkara main-main jika kamu tidak memiliki keghairahan, disiplin, perancangan rapi selepas melihat apa yang dicapai oleh baginda pada hari ini.

Vincent Tan. Foto kredit: PA SPORTS

“Disiplin untuk membawa pelan dan idea serta kesabaran setiap hari yang berlaku.

“Ada sesetengah kelab dari luar negara mengambil masa begitu lama jika dibandingkan apa yang dilakukan oleh JDT sekarang dan dengan sokongan ayahanda, Sultan Ibrahim yang memberikan sokongan penuh kepada JDT yang menyaksikan kelab itu dapat bergerak di landasan yang tepat.

“Lihatlah bagaimana TMJ menguruskan pemain dan pengurusan. Memang menakjubkan dan lebih hebat, baginda telah menemui ramuan sebenar untuk membentuk pasukan tetapi apapun, ia harus datang melalui pemimpin yang bagus, berwibawa dan berkualiti seperti TMJ.

“Dan sudah tentu kejayaan itu juga adalah sokongan penuh daripda Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada JDT dan saya percaya kejayaan ini telah membawa nama baik bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi dan nasihat saya, tirulah JDT untuk tampil lebih sukes,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sabtu lalu, sebelum perlawanan menentang Ulsan Hyundai, Vincent Tan buat pertama kali dapat turun ke Stadium Sultan Ibrahim di mana beliau dibawa oleh TMJ untuk sesi jelajah venue yang menjadi saksi kebangkitan pasukan Harimau Selatan menewaskan kelab Korea itu pada aksi terakhir Kumpulan I dengan keputusan 2-1.

Vincent Tan yang juga anak kelahiran Johor mengakui Stadium Sultan Ibrahim bersifat kelas dunia, menakjubkan dan lebih baik daripada sesetengah stadium di Eropah atau dunia.

“Stadium Sultan Ibrahim telah membawa nama dunia dan venue itu tidak dapat direalisasi tanpa kelibat atau sentuhan TMJ. Lebih tepat, Stadium Sultan Ibrahim menjadi satu ikon kepada bola sepak Malaysia,” ujarnya pemilik Kumpulan Berjaya ini.