PEMAIN negara terus kempunan gelaran di gelanggang sendiri di Kejohanan Malaysia Masters, apabila beregu muda, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tewas 15-21, 24-22, 19-21 kepada pemain Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kekalahan harapan terakhir Malaysia itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tidak Berjaya menamatkan kemarau kejuaraan beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2013.

Begitupun, gandingan Wei Chong-Kai Wun harus dipuji apabila mempamer aksi lebih bertenaga  berbanding penyertaan mereka pada edisi 2022, yang sekadar menamatkan aksi di pusingan kedua.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul naib juara Malaysia Masters pada penyertaan pertama di kejohanan berstatus Super500./Pix BAM

“Saya rasa gembira dengan prestasi ini terutamanya saya mengalami kecederaan pada Februari lalu, selepas itu Kai Wun pula, ini adalah kejohanan utama kami sertai dan saya cukup gembira… kami akan berlatih dengan lebih gigih lagi,” kata Wei Chong.

Perlawanan akhir itu menyaksikan insiden kontroversi, pengadil melayangkan merah kepada pemain Korea Selatan, Min Hyuk, gara-gara melengahkan masa permainan, semasa kedudukan 8-7, sekali gus memberi kelebihan 9-7 kepada pemain negara pada set ketiga.

Namun sayangnya, kelebihan itu tidak membantu gandingan itu untuk memenangi perlawanan.

Dalam laluan mereka ke pentas final kali ini, Wei Chong-Kai Wun memahat sejarah tersendiri apabila mengejutkan gandingan handalan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Wei Chong-Kai Wun yang juga gandingan nombor 26 dunia menumbangkan bekas juara dunia itu dengan kemenangan straight-set 23-21, 21-17 pada aksi suku akhir.

Dalam saingan separuh akhir pada Sabtu, Wei Chong-Kai Wun menyingkirkan satu lagi wakil Indonesia,  Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dengan kemenangan 21-17, 22-20.

Terdahulu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah turut terlepas peluang merangkul kejuaraan Masters Malaysia kali ini apabila tumbang di tangan wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

Biarpun tampil dengan semangat juang tinggi, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-11 dunia terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 20-22, 21-8, 17-21.