DESAS desus pengambilan jurulatih beregu baharu di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus bertiup kencang apabila dikhabarkan Tony Gunawan ada berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, bekas pemenang pingat emas Olimpik Sydney 2000 dan Juara Dunia 2001 dan 2005 itu ada menghubunginya.

“Ya kebetulan saya berada di rumah, saya terima mesej dari Gunawan bertanya khabar saya.

“Lalu saya bertanya ada apa dan kami bersembang mengenai beberapa perkara,” kata Rexy, pada sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Jumaat.

Menurutnya, Gunawan kini mempunyai akademi badminton di Amerika Syarikat (AS).

“Akademinya berjalan lancar tapi dia mungkin mahu mencari angin bahau, pengalaman baharu,” kata Rexy.

Tony Gunawan menyatakan kepada Rexy bahawa dia sedia meneroka pengalaman baharu

Tambahnya, Gunawan bersedia pada bila-bila masa jika khidmatnya diperlukan, namun sehingga kini Rexy tidak mengbubungi Gunawan lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh mahu spekulasi dihentikan kerana pihaknya perlu menapis untuk mendapatkan jurulatih terbaik.

“Kami masih yakin dengan program yang disediakan Rexy (Mainaky) dan kita tak mahu terburu-buru mendapatkan jurulatih beregu campuran baharu.

“Paling awal sekalipun, jurulatih baharu itu akan bermula hujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Ketika ini kita ada Teo Kok Siang sebagai jurulatih pasukan beregu campuran,” kata Kenny.

Selain Tony Gunawan, difahamkan BAM sudah menemuduga beberapa lagi jurulatih termasuk dari Korea Selatan dan Indonesia.