PEMAIN skuasy wanita negara Yasshmita Jadishkumar mencipta sensasi di Switzerland, apabila meraih kejuaraan pertama Jelajah PSA musim ini.
Yasshmita, 21, yang diletakkan sebagai pilihan utama Terbuka Switzerland, tiada masalah menghadapi pemain berusia 17 tahun Mesir, Rugayya Salem, selepas menamatkan aksi final dalam tempoh 28 minit menerusi kemenangan 11-5, 12-10, 11-7.
Yasshmita, kini menghuni ranking ke-80 dunia bakal melonjakkan lagi kedudukan rankingnya selepas muncul juara kali pertama.
Pada Kejohanan Terbuka Lausanne kira-kira dua minggu lalu, Yasshmita berjaya ke separuh akhir sementara di Paris Montmarte pada Jun, dia melangkah ke suku akhir.