BOWLS Malaysia menetapkan sasaran satu pingat emas pada Piala Dunia Boling Padang 2025 yang bakal berlangsung di Arena Bowls Bukit Kiara, Kuala Lumpur dari 4 hingga 8 November ini.
Presiden Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, sasaran itu dianggap realistik memandangkan skuad negara kini berada dalam kelompok lima terbaik dunia hasil prestasi konsisten di pentas antarabangsa.
“Apabila kita menetapkan sasaran satu emas, ia dikongsi sebagai tanggungjawab pasukan, bukan individu tertentu. Tekanan itu kita kongsi bersama sebagai satu pasukan,” katanya dalam sidang media sempena Piala Dunia Boling Padang 2025 di Shah Alam.
Malaysia berpeluang meraih emas daripada mana-mana tujuh kategori yang dipertandingkan, termasuk acara individu, beregu dan berpasukan bagi lelaki serta wanita.

Presiden Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz enggan meletakkan sasaean emas ke atas pemain tertentu, bagi mengelakkan tekanan melampau.
Datuk Awalan berkata, menjadi tuan rumah buat kali pertama memberi kelebihan kepada pemain tempatan yang sudah menyesuaikan diri dengan portable ring berkelajuan tinggi yang digunakan pada kejohanan kali ini.
“Ini kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah dan saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kerana menyediakan kemudahan terbaik yang diiktiraf World Bowls,” katanya.
Sebanyak 12 negara terbaik dunia mengambil bahagian dan penampilan pemain nombor 1 dunia lelaki dan wanita, Jason Banks (Scotland) serta Dawn Hayman (Australia) pasti akan menambah kehangatan kejohanan.
Menariknya, World Bowls turut bersetuju menganjurkan perlawanan pertunjukan khas Malaysia menentang Rest of The World pada 6 November sebagai sebahagian kempen untuk memasukkan sukan boling padang ke dalam Sukan Olimpik Brisbane 2032.