Biarpun pernah mengumumkan berehat selepas detik hitam di Olimpik Paris 2024, jaguh keirin negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang akhirnya membuat keputusan mengejut untuk kembali ke trek bukan semata-mata mengejar pingat, tetapi demi ‘mengakhiri’ kariernya dengan cara yang lebih bermaruah.
Azizulhasni, yang tersingkir seawal pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan teknikal mendahului pacer, mengakui insiden di Paris itu terus menghantui dirinya hingga ke hari ini.
“Kalau ditanya kepada saya, sejujurnya saya sudah tidak terlalu memikirkan soal karier. Namun, buat masa sekarang, apa yang boleh saya kongsikan ialah saya memang berhasrat untuk teruskan selama dua tahun lagi — satu langkah demi satu langkah,” katanya ketika sidang media khas di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Pelumba berusia 37 tahun itu menegaskan beliau tidak mahu titik penamat kariernya dicemari oleh insiden yang tidak menggambarkan segala usaha dan pengorbanan yang telah dilaluinya sepanjang dua dekad bergelar atlet profesional.
“Saya membina kerjaya ini dengan begitu baik. Segala kesusahan, cabaran dan pengorbanan telah saya lalui. Saya pernah meraih pelbagai kejayaan dan kemenangan. Namun, penutupnya tidak seperti yang saya harapkan, ia tidak manis.,” tambahnya.
Disebabkan itu, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo ini nekad untuk meneruskan latihan dan menyasarkan dua kejohanan utama sebagai pentas perpisahan terbaik: Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Harapan saya, mungkin di Sukan Asia atau Sukan Komanwel nanti, akan ada sesuatu yang manis untuk saya jadikan sebagai penutup yang indah. Itulah harapan saya.” ujar beliau.
Kembalinya ‘The Pocket Rocketman’ ini pastinya menjadi suntikan moral kepada skuad berbasikal negara dan memberi isyarat bahawa walaupun tubuh mungkin dimamah usia, semangat juang seorang juara sejati tak pernah luntur.