PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pengumuman kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA sebagai detik bersejarah yang bakal mengubah landskap bola sepak rantau ini, sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai pusat diplomasi sukan serantau.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menegaskan, pihaknya amat berbesar hati dengan pengumuman yang dibuat oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang memilih Malaysia sebagai lokasi pengumuman bersejarah itu sempena Sidang Kemuncak ASEAN, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengumuman ini bukan sekadar signifikan buat bola sepak ASEAN, tetapi juga menjadi simbol pengiktirafan kepada Malaysia atas komitmen dan peranan aktif dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama serantau melalui sukan,” jelasnya.

Menurut Yusoff, penganjuran Piala ASEAN FIFA akan membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak Asia Tenggara di bawah naungan FIFA, serta menjadi platform penting untuk mempertingkat tahap persaingan dan hubungan antara negara-negara ASEAN dalam semangat kesukanan dan persahabatan.
Beliau turut menekankan bahawa kejohanan ini bakal memberi impak besar kepada mutu pertandingan, memandangkan ia akan dimasukkan ke dalam kalendar rasmi FIFA, sekali gus membolehkan penyertaan penuh skuad utama setiap negara tanpa kekangan jadual.

“Dengan sokongan padu semua negara anggota dan kepimpinan FIFA, saya percaya Piala ASEAN FIFA akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak ASEAN di pentas dunia,” katanya optimis.
Walaupun masih di peringkat perbincangan awal, beliau yakin rundingan yang lebih komprehensif akan dijalankan bagi memastikan kejohanan itu dapat direalisasikan dengan lancar dan memberi manfaat besar kepada pembangunan bola sepak serantau.
“Apapun, kita berharap penganjuran ini dapat direalisasikan demi kemajuan dan masa depan bola sepak ASEAN,” katanya mengakhiri kenyataan penuh keyakinan itu.