TIADA rahsia, hanya kerja keras, komitmen dan konsistensi. Itu rumusan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, mengenai kejayaan skuad bimbingannya dalam siri kejohanan antarabangsa sejak awal tahun ini.

Bersandarkan lima kejohanan utama, termasuk empat Siri Jelajah Dunia dan satu Kejuaraan Asia, beregu lelaki negara membawa pulang empat kejuaraan, satu naib juara dan satu tempat separuh akhir, pencapaian yang dianggap memuaskan oleh jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu.

Gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, membuktikan status mereka apabila meraih dua gelaran Jelajah Dunia, manakala pasangan meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, turut menyinar dengan satu kejuaraan daripada empat penampilan terakhir termasuk Terbuka Indonesia minggu lalu.

“Tiada rahsia apa-apa pun, mas. Yang penting pemain itu kerja keras, komitmen dan konsisten ikut program. Saya bersyukur kerana apa yang saya rancang, mereka boleh ikut dan terjemah di gelanggang,” kata Herry ketika dihubungi Flash Sukan.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berjaya menerapkan disiplin dalam permainan kepada pemain negara.

Menurutnya, perkara paling membanggakannya ialah perubahan dalam corak permainan yang ditunjukkan hampir semua pasangan, menjadi petanda bahawa program latihan yang diterapkan sejak beliau menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu, berjaya membawa impak.

“Memang tak semua pemain sama. Ada yang cepat adaptasi, ada yang lambat. Tapi saya lihat semua cuba faham dan ikut. Itu yang paling penting. Bila ada perubahan dalam pola permainan, itu maksudnya mereka sedang berkembang,” katanya.

Herry dalam nada rendah diri enggan mendabik dada dengan pencapaian tersebut, namun berharap prestasi konsisten ini dapat dikekalkan sehingga ke temasya besar seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, andai barisan pemain ini terus diberi peluang.