MENCATAT dua kemenangan memberangsangkan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan mereka tidak akan memberi ruang untuk melonggarkan permainan menjelang perlawanan terakhir kumpulan B, Jelajah Dunia Akhir 2025, sebaliknya terus fokus memburu kemenangan ketiga.
Kejayaan menundukkan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel 17-21, 21-14, 21-15 selepas bangkit daripada kekalahan set pertama membuktikan ketahanan mental gandingan negara itu dalam perlawanan berintensiti tinggi.
Tang Jie mengakui perlawanan menentang lawan dari negara jiran itu, sentiasa sukar dan menguji emosi, namun berakhir dengan kepuasan apabila mereka mampu menamatkannya dengan kemenangan.
“Menentang mereka memang sentiasa perlawanan yang sukar, tetapi hari ini saya sangat puas hati dengan cara kami menang,” kata Tang Jie kepada BWF.
Ee Wei pula mengakui kegagalan mengekalkan momentum pada set pertama hampir mengundang padah apabila beberapa kesilapan memberi kelebihan kepada lawan.
“Pada set pertama kami bermula baik, tetapi selepas itu kami tidak ikut momentum dan membuat kesilapan sehingga mereka lebih menyerang,” kata Ee Wei.
Menurut Ee Wei, perubahan pelan permainan pada set kedua dan ketiga menjadi kunci untuk kembali menguasai perlawanan dan menamatkannya dengan kemenangan.
“Kami tidak akan relaks bila-bila masa kerana kami perlu beri yang terbaik dalam setiap perlawanan,” tegas Ee Wei, sambil menegaskan fokus mereka kekal utuh untuk baki kempen kejohanan itu.