GANDINGAN Loo Bing Kun-Go Pei Kee sah berakhir dengan Terbuka Korea lalu.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengesahkan gandingan itu tidak akan diteruskan selepas prestasi yang dipamer tidak lagi menunjukkan peningkatan.

“Untuk Pei Kee-Bing Kun, saya rasa saya akan hentikan gandingan mereka kerana melihat kepada keputusan serta penampilan yang tidak berapa baik,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Tegasnya, prestasi hambar di Korea menjadi noktah kepada karier mereka sebagai pasangan beregu campuran negara.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto tidak mahu melihat masa depan gandingan Loo Bing Kun-Go Pei Kee tidak akan menjadi lebih baik dan akan mengumumkan rombakan baharu selepas Kejohanan Remaja Dunia bulan depan.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu mengakui langkah berkenaan sebahagian daripada rombakan kecil dalam kem beregu campuran.

Beliau berkata rombakan itu akan mula dilaksanakan selepas Kejohanan Remaja Dunia di India bulan depan.

Menurutnya, Go Pei Kee akan fokus penuh untuk acara beregu wanita bersama gandingan baharu, Teoh Mei Xing.

“Saya sudah berbincang dengan Rexy Mainaky dan kami sepakat Pei Kee hanya fokus pada beregu wanita selepas ini,” jelas Nova.