PEMENANG pingat gangsa dan perak Sukan Olimpik, Datuk Azizulhasni Awang gesa pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memecahkan tembok sempadan yang menghalangnya keluar daripada belenggu kemerosotan prestasi.
Sambil bersetuju dengan keputusan pemain itu yang mahu berehat seketika dari dunia badminton, pendapat The Pocket Rocketman mudah, hanya Zii Jia tahu apa yang terbaik buat dirinya.
“Saya rasa bagus untuk dia step back sikit, reset balik dan come back later… dia mempunyai bakat yang baik cuma saya rasa dia kekurangan dari segi semngat melawan, dari segi mentaliti pula, dia perlu ada mentaliti ‘Kita Juara’,” kata Azizulhasni, ketika diminta mengulas mengenai hasrat yang disuarakan Zii Jia, sebaik tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia pada Rabu.

Datuk Azizulhasni Awang harap Lee Zii Jia kembali dengan lebih baik.
Berkongsi pengalamannya ketika meningkat naik sekitar 2007/2008, Jijoe mengakui amat tinggi tekanan namun: “Saya cepat menyerapnya dan belajar… dia (Zii Jia) juga perlu belajar untuk push the boundary dan saya rasa dia tahu apa yang dia perlukan..”
Begitupun, Azizulhasni yang bersama-sama Zii Jia berada dalam program Road to Gold (RTG), mahu Zii Jia lebih banyak bertenang dan bersabar, kerana semua kekuatan yang ada pada diri seorang Azizulhasni sekarang, datang dengan pengalaman.
“Semoga dia akan ada jurulatih yang bagus selepas ini, ahli psikologi yang baik juga penting kerana hanya dia yang tahu apakah faktor diperlukan untuk memajukan dirinya.”

Selain berehat dan reset, Datuk Azizulhasni Awang berharap Lee Zii Jia mendapat jurulatih yang baik serta khidmat sokongan pakar psikologi, bagi meningkatkan semangatnya.
Pada Terbuka Indonesia semalam, Zii Jia tersingkir di pusingan pertama apabila tewas 17-21, 13-21 kepada pemain India, Lakshya Sen.
Sepanjang tahun ini, dia turut tersingkir di pusingan pertama Terbuka Singapura dan Terbuka Malaysia, selain tersingkir di pusingan kedua Terbuka India, Indonesia Masters, Terbuka Jerman, dan Malaysia Masters.
Malah berdasarkan kemaskini ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain itu berada di ranking ke-11 dunia, sekali gus tidak memenuhi antara syarat untuk berada dalam program RTG.