KEHADIRAN Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas memberi suntikan keyakinan besar buat pasukan negara.
Beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik berkata, pemain perseorangan profesional itu bukan sekadar melengkapkan barisan, malah membawa aura berbeza kepada pasukan.
“Sudah tentu saya rasa lebih yakin,” katanya ringkas ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia.
Dalam fikirannya, pengalaman dan reputasi dimiliki Zii Jia mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan skuad negara.
“Saya harap dia akan cari balik prestasi dia… saya rasa dia memang ada pengalaman dan potensi itu,” katanya.
Walaupun mengakui tidak mengetahui sepenuhnya keadaan latihan Zii Jia, Wooi Yik tetap percaya rakan baiknya itu mampu kembali ke tahap terbaik.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tonggak utama Piala Thomas.
Kehadiran bekas juara Seluruh England dan pemenang gangsa Olimpik itu juga dilihat penting ketika Malaysia berdepan ketidakstabilan dalam acara perseorangan.
Sebagai rekod, Zii Jia kini kembali beraksi selepas tempoh panjang dibelenggu kecederaan, namun masih mencari konsistensi di pentas antarabangsa.
Dalam masa sama, gandingan utama negara itu bersama Aaron Chia dijangka terus menjadi sandaran utama dalam acara beregu lelaki.
Tekanan itu tidak asing buat Wooi Yik yang memahami peranan besar mereka dalam menyumbang mata penting buat pasukan.
“Kami perlu yakin untuk menukar mata,” katanya, menggambarkan kepentingan aspek mental dalam kejohanan berpasukan.
Bagi Wooi Yik, Piala Thomas bukan sekadar pertandingan, sebaliknya medan untuk membuktikan kekuatan sebenar skuad negara di pentas dunia.