KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan skuad hoki lelaki negara sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Hoki 2026.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk berkenaan.
Menurutnya, MHC sebulat suara memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh yang akan berakhir pada Disember 2025.
Beliau menegaskan keputusan itu bukan berbentuk pemecatan, sebaliknya satu langkah strategik bagi memberi nafas baharu kepada pasukan dalam menghadapi cabaran lebih besar.
“Kontrak beliau tidak disambung untuk tempoh persiapan ke Piala Dunia 2026, namun kami amat menghargai jasa dan pengorbanannya sejak Mac 2024 sehingga berjaya membawa pasukan layak ke kejohanan itu,” katanya.

Sebagai pengganti, MHC secara rasmi melantik Brendon Carolan sebagai ketua jurulatih baharu berkuat kuasa 1 April 2026 hingga 1 April 2027.
Carolan yang berasal dari Afrika Selatan dan menetap di Dublin, Ireland bukanlah nama asing dalam kem negara kerana pernah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih sebelum ini.
Beliau juga memiliki pengalaman sebagai jurulatih sementara pasukan Ireland selain pernah berperanan sebagai perunding hoki kepada kelab Gantoise.
Menurut Subahan, antara faktor utama pelantikan Carolan adalah kerana beliau sudah mengenali pemain serta memahami kekuatan dan kelemahan skuad sedia ada.
“MHC turut mengadakan sesi perbincangan bersama pemain kebangsaan dan majoriti mereka menyatakan keselesaan serta menyokong pelantikan beliau,” katanya.
Tambahnya, kepakaran taktikal yang dimiliki Carolan juga dilihat selari dengan keperluan hoki moden yang semakin menuntut pendekatan lebih terperinci.
Pelantikan itu diharap mampu menyuntik dimensi baharu kepada skuad negara dalam usaha meningkatkan prestasi dan kekal kompetitif di pentas antarabangsa menjelang Piala Dunia 2026.