KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) meletakkan Sukan Asia Nagoya 2026 sebagai misi utama skuad hoki lelaki negara dalam usaha memburu tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, sasaran itu dianggap kritikal kerana hanya laluan di Sukan Asia mampu memberikan kelebihan besar dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik.

“Jika tidak memenangi pingat emas sekali pun, sekurang-kurangnya kita perlu meraih perak untuk memastikan kedudukan terbaik bagi kelayakan ke Olimpik seterusnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui kedudukan semasa skuad negara dalam ranking dunia membimbangkan apabila kini berada di tangga ke-15 dunia.

Katanya, jurang mata yang kecil dengan pasukan di belakang membuka risiko Malaysia terus merosot sekiranya gagal mencatat keputusan baik dalam kejohanan akan datang.

“Jika kita tidak berhati-hati, kita boleh jatuh ke ranking ke-16 atau ke-17 dunia kerana jurang mata dengan negara bawah kita hanya sekitar 20 mata,” katanya.

Sementara itu, skuad negara bakal berdepan cabaran getir pada Piala Dunia Hoki 2026 yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda dari 15 hingga 30 Ogos depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama kuasa besar dunia iaitu Belgium, Jerman dan Perancis dalam kejohanan yang akan berlangsung di Belgium.

Sebagai persiapan penting menjelang kejohanan utama itu, skuad negara akan terlebih dahulu mengharungi Piala Negara-Negara FIH di Cape Town, Afrika Selatan dari 11 hingga 20 Jun depan.

Subahan berkata, kejohanan itu amat penting kerana juaranya akan meraih slot automatik ke Liga Pro, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia bersaing di pentas elit dunia.

Beliau menegaskan penyertaan dalam liga berprestij itu amat diperlukan bagi meningkatkan tahap permainan skuad negara menjelang sasaran utama ke perlawanan akhir Sukan Asia dan seterusnya layak ke Olimpik 2028.