KEJOHANAN Bola Sepak Yakult Global Cup 2023 B-12 tahun sekali lagi menjadi tumpuan apabila ianya mula memasuki peringkat Grand Final yang menghimpunkan 16 pasukan terbaik dari seluruh Malaysia dengan edisi ketiga penganjuran ini akan diadakan di Serimas Sportplex, Nilai, Negeri Sembilan pada 9 September 2023.

Pertandingan ini mula dianjurkan pada tahun 2019 dan kemudiannya terpaksa di hentikan seketika pada tahun 2020 dan 2021 ekoran penularan pendemik Covid-19 yang melanda dunia. Ianya kemudian diteruskan pada tahun 2022 dan 2023.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat muda tempatan bersaing dalam kejohanan kompetitif diperingkat umur 12 tahun. Selain itu ianya memberi peluang kepada bakat cilik tempatan untuk memperlihatkan bakat mereka untuk dinilai oleh pencari-pencari bakat yang sering hadir ketika kejohanan ini dilaksanakan.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroki Yanase

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroki Yanase berkata pihaknya gembira dengan sambutan yang diterima daripada semua pihak yang menyertai kejohanan kali ini dan berharap agar para peserta dapat menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya di masa hadapan selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu menyebarkan kesihatan kepada seramai yang mungkin.

“Pihak Yakult merasa gembira melihat sambutan yang diterima apabila ramai pihak yang berminat untuk menyertai kejohanan ini. Walaubagaimanapun, pihak kami hanya mengambil 64 pasukan yang terawal bagi menyertai peringkat saringan di empat zon yang berbeza oleh kerana kekangan masa.

“Saya berharap agar mereka yang menyertai program ini akan menjadi pemain bola sepak yang berjaya satu hari nanti.”

Yakult Global Cup 2023 diadakan di empat Zon — Selatan, Timur, Tengah dan Utara dengan empat pasukan terbaik dari setiap Zon kini layak ke Grand Final untuk merebut trofi yang ditawarkan.